Skip to main content

241 mangsa masih di 4 PPS

MANGSA banjir di Johor Bahru kekal 241 orang dengan empat pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di dua daerah terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, R Vidyananthan, berkata menerusi data dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah pada 8 pagi, tiada perubahan jumlah keluarga yang ditempatkan di PPS Muar dan Batu Pahat.

"Sebanyak dua PPS Muar masih dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Kaya Ali dan SK Seri Menanti yang menempatkan 150 mangsa daripada 41 keluarga.

"Manakala, dua PPS Batu Pahat iaitu SK Peserai dan SK Seri Aman pula menempatkan 91 mangsa daripada 22 keluarga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini turut mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir di enam daerah termasuk Johor Bahru, Kulai, Kluang, Kota Tinggi, Segamat dan Mersing sehingga petang ini.