Skip to main content

2 wanita edar, tanam pokok ganja dicekup

DUA wanita yang terbabit dalam pengedaran dadah dan menanam pokok ganja di rumah mereka ditahan ketika menaiki kereta Proton Waja di Jalan SS 5A/9 Kelana Jaya di Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam kejadian 5 petang itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menahan kereta dinaiki suspek berusia 25 tahun kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan menemui satu paket plastik lutsinar disyaki ganja seberat 125 gram disimpan di ruang tengah bahagian brek tangan.

"Siasatan awal polis kemudian salah seorang suspek mengaku ada menanam pokok ganja di rumahnya dan polis kemudian menyerbu kediamannya di Jalan SS 3/80 Kelana Jaya, di sini.

"Pemeriksaan lanjut merampas tiga botol plastik hitam ditanam dengan empat pokok disyaki pokok ganja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, semakan mendapati kedua-dua suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau direman seminggu dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6B akta sama.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi melihat pembabitan mereka dalam kes pengedaran dadah di kawasan Petaling Jaya," katanya.