Skip to main content

1MDB: Arul Kanda berhasrat pinda tuduhan

PENDAKWAAN dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy membabitkan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB berhasrat meminda perkataan dalam tuduhan terhadap mereka.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan yang mengetuai pasukan pendakwaan Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu Hakim Mohamed Zaini Mazlan bahawa mereka berhasrat melakukan pindaan itu esok.

Peguam utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, bagaimanapun berkata pihak pembelaan akan membantah hasrat pendakwaan itu kerana persiapan kes mereka untuk kes tersebut berdasarkan pertuduhan asal.

"Kami akan membantahnya," kata beliau pada akhir hari ke-10 perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, ketika ditemui wartawan kemudiannya berkata pindaan itu bagi memperjelaskan lagi pertuduhan.

Najib, 67, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya, manakala Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan ke atas laporan itu, untuk melindungi Najib daripada dikenakan tindakan.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.