Skip to main content

162 kes penipuan babit kerugian lebih RM1.6 juta

SEBANYAK 162 kes penipuan pinjaman tidak wujud membabitkan kerugian melebihi RM1.6 juta dilaporkan di Sarawak sepanjang Januari hingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Superintendan Maria Rasid berkata, sebanyak 111 kes direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lalu membabitkan kerugian RM922,000.

"Sebanyak 26 tangkapan sudah dibuat pada tahun ini dan pihak polis masih menjalankan risikan untuk membanteras dan menggempur sindiket penipuan pinjaman tidak wujud ini.

"Dua kes terbaru dilaporkan di daerah Kota Samarahan dan Padawan semalam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, katanya, bagi kes di Kota Samarahan, pekerja syarikat swasta berusia 25 tahun kerugian RM36,000.

"Modus operandi yang digunakan ialah (sindiket) memperdaya mangsa melalui iklan pinjaman wang online di laman web google menggunakan nama sebuah syarikat.

"Mangsa kemudian diarah membayar sejumlah wang untuk urusan insuran. Dia seterusnya dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai 'Chow Chee Chew' dan mengaku sebagai pengurus syarikat pemberi pinjaman wang itu," katanya.

Beliau berkata, mangsa diarahkan membuat pelbagai bayaran selepas itu yang mengakibatkan mangsa membuat pembayaran berjumlah lebih kurang RM36,000 melalui 16 transaksi ke empat akaun bank atas nama individu berlainan antara tempoh 31 Mei hingga Rabu lalu.

Katanya, kes kedua pula membabitkan seorang peniaga perempuan berusia 22 tahun dari Padawan yang ditipu RM800 selepas melihat iklan pinjaman wang dari sebuah syarikat di dalam laman Facebook.

"Mangsa yang tertarik dengan iklan itu dan ingin meminjam wang berjumlah RM10,000," katanya.

Maria berkata, dia menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman melalui laman sesawang, media sosial atau melalui aplikasi telefon pintar seperti WhatsApp, WeChat dan sebagainya.

"Masyarakat dinasihatkan supaya mendapatkan pinjaman wang daripada syarikat pemberi pinjaman wang berlesen atau institusi kewangan yang sah.

"Anggota masyarakat juga dinasihatkan supaya tidak meminjamkan atau menjual akaun bank kepada mana-mana pihak sama ada dikenali atau tidak," katanya.