Skip to main content

10 laporan polis terhadap Guan Eng, Tommy Thomas

SEBANYAK 10 laporan polis dibuat ke atas bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berkaitan penyalahgunaan kuasa ketika memegang jawatan itu sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Laporan dibuat UMNO Bahagian Tangga Batu bersama Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Melaka bersama lapan badan bukan kerajaan (NGO) lain di Balai Polis Batang Tiga, Klebang di Melaka, malam tadi.

Laporan polis itu dibuat susulan artikel sebuah portal berita baru-baru ini yang mendakwa Guan Eng pernah mengutus surat kepada Tommy meminta Jabatan Peguam Negara (AGC) membatalkan pembekuan akaun bank milik seorang taikun hartanah bergelar Tan Sri.

Taikun hartanah terbabit didakwa kini disiasat berhubung transaksi kewangan berjumlah RM4 juta yang berkait dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Surat mengenai kes terbabit juga kini tular di media sosial.

Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Senator Datuk Seri Mohd Ali Mohamad berkata, pihaknya mahu siasatan terperinci dibuat bagi membolehkan tujuan sebenar Guan Eng beriya-iya membantu taikun hartanah terbabit untuk mencairkan akaun bank itu.

"Ini adalah satu tindakan salah guna kuasa yang sangat dahsyat dan beberapa lagi NGO sudah bersedia untuk bersama kami membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan tindakan susulan dibuat," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan berkenaan.

Turut sama, Pengerusi UMMAH Melaka, Hishammudin Abu Bakar.

Berdasarkan beberapa dokumen yang tular serta laporan portal berita terbabit, permintaan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, untuk membatalkan pembekuan akaun taikun itu yang dibuat pada akhir Mei tahun lalu, ditunaikan Tommy dalam tempoh dua minggu.

Portal berita berkenaan turut mendakwa keputusan itu dibuat walaupun SPRM memaklumkan wang berjumlah RM4 juta itu gagal dipulangkan oleh taikun itu kepada kerajaan.